Prinsip Perjuangan
Tujuan Dan Matlamat
Tujuan Dan Matlamat Parti Adalah Seperti Berikut:
- Menegakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan menghormati hak orang bukan Islam untuk menganut dan mengamalkan agama masing-masing secara aman dan harmoni.
- Menjunjung kemuliaan dan kedaulatan institusi Raja Berperlembagaan.
- Mempertahankan kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan hak-hak dalam Perlembagaan Persekutuan yang sah untuk semua kaum.
- Memperkasa Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan memelihara hak semua kaum untuk mempelajari bahasa ibunda masing-masing.
- Menegakkan sistem demokrasi berparlimen dan doktrin pemisahan kuasa dengan memperkukuhkan institusi demokrasi menerusi reformasi institusi yang menyeluruh.
- Memperkasa agenda memerangi rasuah dan salah guna kuasa untuk mewujudkan amalan tadbir urus yang baik dan pemerintahan yang bersih, beramanah dan berintegriti.
- Memelihara hak-hak asasi rakyat sepertimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, menjunjung nilai-nilai keadilan sejagat yang selari dengan agama Islam, serta menjunjung keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang serta prinsip keadilan dan kesaksamaan.
- Membentuk masyarakat Malaysia yang inklusif, progresif, dinamik dan saintifik serta menghargai seni, budaya dan tradisi sebagai acuan membina sebuah negara maju yang sejahtera.
- Memperjuangkan keadilan sosial, mengagih kekayaan negara secara adil dan saksama, membela kebajikan rakyat dan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan agama.
- Mendokong prinsip bahawa setiap rakyat berhak untuk berjaya dengan memperolehi pendidikan yang berkualiti dan sempurna menerusi satu sistem pendidikan yang mementingkan pengembangan bakat, kreativiti, inovasi dan amalan nilai-nilai murni serta melaksanakan dasar dan inisiatif yang konsisten untuk merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar.
- Memupuk perpaduan dan keharmonian antara masyarakat pelbagai kaum dan agama, memelihara kestabilan politik dan keselamatan negara, dan memacu pembangunan ekonomi yang mapan demi kepentingan rakyat dan negara.
- Mengamalkan prinsip-prinsip Rukunegara serta mendukung Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri-Negeri.
- Menyertai pilihan raya umum Persekutuan dan Negeri serta pilihan raya kecil dengan tujuan untuk menghantar wakil parti ke Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri bagi membentuk kerajaan Persekutuan dan Negeri.